Saturday, October 25, 2008

Kebanggaan Melayu Islam Pulau Pinang.....


Sekolah ini telah diasaskan atas kesedaran segolongan bangsa Arab di Pulau Pinang yang bimbang akan kekurangan didikan agama di kalangan anak-anak masing-masing.Pada tahun 1916 bersamaan 16 Muharram 1335H, suatu mesyuarat telah diadakan khusus tentang penubuhan sebuah sekolah agama. Dengan usaha gigih dan semangat kerjasama semua pihak maka tertubuhlah sebuah sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Quran, di Lebuh Acheh (Masjid Melayu Pulau Pinang). Antara pihak yang turut menyumbang kepada penubuhan Madrasah ini termasuklah Tuan Syed Mahzar Aidid, Al-Syed Omar Al-Sagoff, Al-Sheikh Hassan Al-Baghdadi, Al-Syed Al-Sheikh Ali Bawazir dan Al-Sheikh Al-Haji Zakaria. Guru pertama yang mengajar di Madrasah ini ialah Al-Syed Abdul Rahman Alhabshee, manakala guru besar pertamanya ialah Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi.Madrasah ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan pada tahun 1918, Madrasah ini telah berpindah ke kawasan yang lebih besar di Kampong Jawa Lama, dengan nama Madrasah Al-Mashoor Al-Islamiah, sempena nama Tuan Habil Al-Mashoor, seorang penghulu yang terkenal di Pulau Pinang pada masa itu. Di samping Tuan Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi sebagai guru besar, guru-guru lain yang mengajar pada ketika itu ialah Tuan Al-Shaikh Mohd. Radzi, Tuan Al-Syed Ahmad Dahlan, Tuan Abdul Rahman Firdaus, Tuan Syed Ali Al-Zahir dan Tuan Ustaz Yusuf Zawawi.Pada tahun 1920, Madrasah ini telah berpindah ke Lebuh Tek Soon, rumah dan tapak sekolah adalah kepunyaan Tuan Haji Bachik (seorang hartawan dari Melaka). Pada masa itu, perkembangan sekolah tersebut berlaku dengan begitu pesat dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap murid. Mata pelajaran yang ditambah ialah Ulum Al-Syariah dan Bahasa Inggeris. Tuan Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi kemudiannya digantikan oleh Tuan Al-Allamah Al-Shaikh Abdullah Al-Maghribi, seorang ulama yang pernah mengajar dan menjadi imam di Masjidil Haram Makkah. Antara guru yang mengajar pada masa pentadbirannya ialah Tuan Al-Marhum Shaikh Tahir Jalaluddin, Tuan Al-Shaikh Ahmad Al-Hadi dan Tuan Al-Allamah Al-Hafiz Ghulam Sarwar.Pada tahun 1934 iaitu semasa pentadbiran Tuan Shaikh Abbas Bakar Al-Rafiee, barulah bahagian puteri disusun. Pelajar perempuan ditempatkan di bangunan lama dan pelajar lelaki di bangunan baru. Kemudian, pelajar-pelajar perempuan berpindah ke rumah kediaman Tuan Shaikh Abbas di Jalan Macalister. Pada tahun 1936, sekolah perempuan berpindah ke Jalan Lunas.Semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1941, Madrasah Al-Mashoor telah ditutup selama 3 tahun 8 bulan dan dibuka kembali pada tahun 1945 setelah British kembali ke Tanah Melayu. Usaha-usaha untuk mendirikan bangunan baru bagi sekolah dan asrama untuk pelajar lelaki dan perempuan terus dijalankan. Tabung derma bangunan sekolah telah menerima derma ikhlas daripada Al-Amir Faisal, yang ketika itu menjadi Tengku Mahkota Saudi Arabi sebanyak RM10,000 dan RM1,000 daripada Duta Sudan serta derma daripada orang ramai. Pada tahun 1957, sempena kunjungan YTM Tengku Abdul Rahman ke Madrasah Al-Mashoor, beliau berjanji akan membantu mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua buah sekolah. Sebuah Jawatankuasa Binaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras untuk penubuhan sekolah baru. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Tuan Syed Abdullah Al-Sagoff (Pengerusi), Tuan K.S. Mohd. Ismail Alaudin, Tuan Syed Omar Al-Mashoor, Tuan Haji Yusuf Rawa, Tuan Dr. Haji S.M.Baboo, Tuan K.S.N. Baharuddin, Tuan Haji Hassan Badjunid dan Tuan M.N. Sathar. Permohonan bantuan telah diajukan kepada pihak Lembaga Kebajikan Masyarakat.Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan Alaudin telah mewakafkan sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak sekolah perempuan. Waris beliau iaitu Tuan Hj. K.S. Mohd. Ismail menjadi pengerusi Jemaah Pengurus SMKA Al-Mashoor (P) sekarang. Pada tahun 1970, guru besar pada masa itu iaitu Al-Ustaz Ahmad Badjunid telah memainkan peranan aktif untuk menampung lebih ramai murid yang tercicir dari Sekolah Menengah Kerajaan. Pada masa itu terdapat bantuan bulanan dari Rabitah Al-Alam Al-Islamiah Arab Saudi (The World Muslim League).Pada akhir tahun 1978, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih bangunan sekolah lelaki di 41-A, Lebuh Tek Soon untuk pembinaan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Kerajaan telah menggantikan tapak di Lebuh Tek Soon dengan sebidang tanah di Jalan Air Itam seluas 2.8 ekar. Mulai 1 Januari 1979, Kementerian Pelajaran Malaysia Bahagian Agama telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini secara rasmi dan nama sekolah ditukar kepada SMKA Al-Mashoor Lelaki dan SMKA Al-Mashoor Perempuan yang ditadbir secara berasingan.Sebuah bangunan baru telah didirikan di Jalan Air Itam untuk pelajar-pelajar lelaki. Sementara menunggu bangunan baru itu siap, pelajar-pelajar lelaki telah menumpang di Sekolah Menengah Abdullah Munshi sehingga akhir tahun 1981. Setelah diambil alih oleh kerajaan selama 3 tahun, cadangan telah dibuat untuk membina bangunan baru bagi pelajar-pelajar perempuan. Oleh itu sementara menanti bangunan baru di Medan Lim Cheng Teik siap, pelajar-pelajar perempuan telah menumpang di SMKA Al-Mashoor (L) dari tahun 1982 hingga Oktober 1984 (2 tahun 10 bulan).Memandangkan kurikulum SMKA Al-Mashoor telah berubah, para pemegang amanah berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan semula sekolah agama yang menjadikan mata-mata pelajaran hadis, tafsir dan lain-lain lagi sebagai mata pelajaran asas. Setelah persetujuan diperoleh, dan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Maahad Al-Mashoor Al-Islami pun diwujudkan pada Februari 1993. Buat sementara, sekolah ini menumpang di bangunan wakaf Masjid Riduaniah, Sungai Batu, Bayan Lepas. Tapak pembinaan sebenar sekolah ini terletak di Simpang Empat, Balik Pulau

1 comment:

wan-niza said...

Assalamualaikum,

Mohon bantuan saudara, saya sedang mengkaji tentang wakaf dalam pendidikan. Kalau tidak keberatan, boleh beri maklumat atau satu nama sekolah yang wakaf sepenuhnya. Maksud saya tanpa menggunakan dana bantuan daripada kementerian pelajaran.
Terima kasih.